Newsletter subscribe

Catatan Lama

Pesanan Seorang Kakak

Posted: January 8, 2016 at 9:51 am   /   by   /   comments (0)

Awal tahun 2013 menyaksikan pertukaran kakak naqibah usrah yang aku sertai. Kerana ahli usrah makin bertambah, kumpulan kami dibahagikan kepada dua. Satu kumpulan dikendalikan oleh Kak Asma dan satu kumpulan lagi dikendalikan oleh Kak Munirah. Tahun lepas, usrahku dikendalikan oleh Kak Asma, dia lah naqibah pertamaku kerana itulah usrah pertama yang aku ikuti. Tapi, bermula tahun 2013, Kak Munirah yang menjadi kakak naqibahku.

Di hari terakhir pertemuan kami, Kak Asma memberi banyak pesanan secara lisan dan secara bertulis. Semangat dakwah Kak Asma sangat mengagumkan. Aku sentiasa teruja dengan gaya dia kerana semangat dia begitu kental. Di sini ingin ku kongsikan pesanan bertulis dari Kak Asma.


…………………………………………………………………………………………………………………………………

Adikku…
Di saat kita hanya berfikir untuk hidup bagi diri sendiri, terasalah oleh kita bahawa kehidupan ini begitu sempit dan pendek, dimulai dari kelahiran kita dan berakhir semasa kematian, berangkat dari pertama kali kita digelarkan di atas bumi dan kembali ke bumi lagi.

Tetapi adikku…
Jika hidup kita untuk akidah dan untuk orang lain, maka terasalah hidup ini cukup luas dan panjang. Ia lahir bersama dengan kemanusiaan dan hanya akan mati setelah roh terlepas dari jasad kasar ini, berpisah dengan bumi. Kita akan merasa sangat berbahagia dan puas. Umur kita berlipat ganda melebihi jumlah angkanya, walaupun ia lebih kecil dari hitungan tahunnya. Itulah kebahagiaan yang hakiki, bukan kebahagiaan fantasi. Dalam kebahagiaan kehidupan yang seperti itu, tergambarlah keuntungan yang kita peroleh dari sejak awal
kelahiran kita, dari hari ke hari,dari masa ke masa,dan seluruh umur kita,dalam perasaan kita,pada setiap langkah kita. Terasa betul bahawa hidup ini bukan hanya sekadar berapa lama nafas ini keluar masuk dari tubuh kita, tetapi hidup ini diukur dan dinilai dari “kepuasan rohani” yang dapat kita rasakan!

Kenyataan seperti inilah yang disebut “realiti” dan “hakikat”, bukan imaginasi kaum materialistik itu. Dan inilah hakikat hidup di atas segala hakikat yang mereka pergunakan. Kita akan merasakan bahagia yang berlimpah-limpah, bila kita hidup untuk manusia lain. Seberapa kadar perasaan untuk hidup bersama orang lain, maka berlipat gandalah perasaan terhadap kehidupan kita sendiri, terus bererti kehidupan ini dengan sendirinya akan berlipat dan melimpah-limpah, akhirnya kita merasa bahagia hidup di dalamnya!

(Petikan dari surat As-Syaheed Sayyid Qutb kepada adiknya Hamidah Qutb di luar penjara)
Pesanan dari kakak…..
Jagalah masa dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah. Sesungguhnya masa lebih berharga daripada emas. Masa itu ibarat nyawa. Masa yang diberikan kepada kita di dunia ini tak lain hanyalah akan menjadi dua perkara kepada kita kelak. Sama ada menjadi beban atau pun bukti dihadapan Allah. Maka pilihlah. Pilihlah dengan apa untuk kita habiskan masa kita di dunia ini, pilihlah sama ada kita mahu memikul beban kerana masa yang kita biarkan berlalu tanpa sebarang manfaat kepada diri dan orang-orang sekeliling atau bukti kepada Allah bahawa kita telah berusaha di sini,di medan kita.
Jangan takut untuk melangkah. Sekiranya kita terlalu takut kerana memikirkan jatuh, maka kita sebenarnya sudah sedia jatuh. Jatuh yang tak bermaruah. Tetapi, bangkit dan bermulalah. Bermulalah dengan penuh semangat dan berani, kerana kita adalah apa yang kita fikirkan. Bangun dan melangkahlah dengan bermaruah, maruah seorang yang merdeka. Untuk yang sudah bermula,teruskan perjuangan. Kepada yang masih mencari, marilah bersama, kita orak langkah ke arah sana. Ke arah mencari redha Allah. 
InsyaAllah.
Salam penuh hormat,
Kakak awak lah!
Semoga Allah merahmati Kak Asma sentiasa.

Nota kaki: Catatan lama ini ditulis pada Isnin, November 25, 2013

Comments (0)

write a comment

Comment
Name E-mail Website